Rabu, 29 Februari 2012

Merasai kebesaran ALLAH dgn amalan extravaganza

Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh.

Tulisan ini adalah sangat spesifik kepada suasana dakwah dan tarbiyyah di suatu kawasan yang penulis maksudkan. Jika anda berada dikawasan sama, maka anda akan tahu. Jika tidak, anggap sahaja ia sebagai satu pengajaran baru dan iktibar untuk di buat teladan/sempadan.

Sesungguhnya, bisikan syaitan berbentuk jin dan manusia tidak pernah henti, walaupun anda seorang daei, murobi apatah lagi penggerak dakwah kecuali yang ikhlas. Subhanallah!.

“Ia iblis berkata; Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku akan pastikan [kejahatan] terasa indah bagi mereka [anak cucu Adam] di bumi dan aku akan menyesatkan mereka semua”

“Kecuali hamba-hambaMu yang terpilih diantara mereka”

“Dia [Allah] berfirman; Ini adalah jalan lurus menuju kepadaKu”

“Sesungguhnya kamu [Iblis] tidak kuasa keatas hamba-hambaKu, kecuali mereka yang mengikutimu iaitu orang-orang yang sesat”

Al-Hijr: 39 -42.

Seluruh ceruk bumi ciptaan ALLAH ini adalah untuk dimakmurkan oleh manusia beriman dan berilmu sebagai mana telah ALLAH jelaskan dalam surah al-Baqrah 30.

Tuntutan melaksanakan dakwah dan tarbiyyah adalah WAJIB. Perkara ini telah pun kita bahaskan dalam pertemuan mingguan, perjumpaan besar dan kecil.. Maka lahirlah para daei yang sangat bersungguh-sungguh dengan dakwah dan tarbiyyahnya. Secara lahiriahnya tiada perkara cacat. Sikap mahu belajarnya menjadi contoh, akhlaqnya terpuji. Segala puji hanya untuk ALLAH.

Maha Suci ALLAH yang menciptakan manusia. Para daei yang komited dengan dakwah dan tarbiyyah itu menjadi sibuk, penat dan letih. Tapi sibuk, penat dan letih para daei ini begitu berbeza sekali, berbeza kerana ia tidak serupa dengan warga kampus yang lain.. Terasa begitu besar usaha dan pengorbanan menjaga suasana dakwah dan tarbiyyah di kampus sendiri. Alangkah bahagia melihat ramainya mutarobbi semakin “menjadi” dan “berubah”.

Hingga Qiamullail menjadi sedikit. Bacaan Quran makin berkurang. Kualiti solat makin menurun. Hingga percakapan dan perbuatannya menunjukkan seolah-olah dialah yang paling penting dan berperanan. Oh, kemudian tersedar. Segala puji bagi ALLAH kerana memberi kesedaran. Cepat-cepat kembali menjaga ibadah-ibadah khusus sebaiknya..

Itulah cerita zaman sekarang. Para daei di suatu kawasan..

Ini pula cerita zaman dahulu.

Pengorbanan dan pengembelengan tenaga para daei terdahulu.

Mus’ab bin Umayr yang kaya raya dan masyhur, akhir menjadi tukang kutip kayu api. Standardnya samalah seperti anak orang kaya hari ini bertukar jadi tukang sapu sampah kerana Islam. Tapi dengan standard begitu Mus’ab berjaya mengislamkan hampir seluruh penduduk Madinah, kecuali beberapa orang dan kumpulan manusia..

Abu Ayyub al-ansari yang telah terlibat dalam pelbagai pertempuran di zaman Rasulullah. Masih mahu turut serta dalam misi membebaskan Kota Konstatinopel sedangkan sudah berusia lanjut dan akhirnya di kebumikan di pintu masuk kota tersebut untuk menyaksikan siapakah pahlawan dan pasukan tentera terbaik yang Rasulullah maksudkan.

Syeikh Abdul Qadir jailani. 70 ribu orang menghadiri majlis ilmunya. 5000 orang Yahudi dan nasrani memeluk Islam ditangannya. Lebih 100 ribu manusia bertaubat ditangannya. Beliau mendidik mereka menjadi manusia berkemahiran dalam mendidik, memuliakan mereka dan manusia-manusia ini bertaburan keseluruh pelusuk dunia untuk meneruskan tugas menyampai serta mendidik generasi ummat Islam kemudian.

Syeikh Jamaludin yang bertanggungjawab mengislamkan seorang RAJA yang sangat berpengaruh, Jenghis Khan atau lebih dikenali sebagai Tughluk Timur Khan [kalau tidak kenal, sila google sekarang]. Akhirnya Raja berpengaruh tersebut dan rakyatnya telah memeluk Islam.

Bagaimana pula peranan dan pengaruh para daei yang bersungguh-sungguh berdakwah ditengah ummat Islam yang lesu dan telah dikalahkan tentera Monggol dan Tartar. Dari menjajah negara ummat Islam, akhirnya tentera Monggol dan Tartar yang ganas dan kasar itu akhirnya memeluk Islam dan membentuk kerajaan Islam pula.

Kesemua manusia dahulu; yang diceritakan diatas adalah yang telah ALLAH lahirkan untuk kita. Surah ali-imran: 110.

Mereka benar-benar manusia terpilih. Ramai lagi para alim rabbani yang tidak jemu mendidik dan berdakwah, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Syafie, Fudhail bin Iyadh, Hassan Al-Basri, Ibnu Taimiyyah, Said An-nursi, Hassan Al-Banna..

Tidak termasuk lagi para sahabat dan tabiin..

Kesemua tokoh alim rabbani ini tidak berhenti melakukan kerja tarbiyyah dan dakwah hingga nyawa mereka diambil oleh-Nya. Kesibukkan urusan hidup mereka sebagai pemimpin, orang alim, ketua keluarga atau anggota masyarakat tidak menyebabkan kurangnya ibadah, lesunya semangat, terhentinya kerja dakwah dan tarbiyyah.. Malah roh dan semangat dakwah dan tarbiyyah mereka masih dapat dirasai generasi terkemudian. ALLAHU AKBAR!

Kita = para daei disuatu kawasan itu sebenarnya turut menumpang semangat para alim rabbani yang hebat ini..

Adalah sangat tidak layak dan tidak sesuai untuk kita merasa begitu penting dan hebat di kawasan itu, kerana kita hanyalah di kawasan itu. Sedangkan para alim rabbani yang telah di senaraikan di atas telah memberi pengaruh jauh ke seluruh pelusuk dunia!

Sesungguhnya.. Para daei yang benar-benar melakukan kerjanya tidak perlu tertipu dengan amalan mereka. Sesungguhnya amalan yang extravaganza itu sebenarnya akan menyebabkan bertambahnya iman dan pergantungan dengan ALLAH kerana dia benar-benar merasai Allah memang MAHA BESAR!

Kepadanyalah seluruh ummat Islam berserah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan